Friday, May 21, 2010

BUDI BAHASA KHAZANAH MULIA

Imam al-Ghazali menghubungkan akal itu sebagai kalbu. Tautan akal & kalbu mencetuskan fikir & zikir dan darinya lahir akal & budi. Kalbu, bagi Imam al-Ghazali diibaratkan seperti mudrikah atau kolam hati. Inderawi manusia ibarat aliran air yang masuk ke mudrikah. Apa yang dilihat, didengar, dihidu, apa yang dirasa & disentuh bakal mengalir ke mudrikah. Sekiranya yang mengalir itu adalah sesuatu yang jernih ianya menguatkan nafsul mutmainnah iaitu sifat-sifat insani yang tinggi. Sebaliknya, jika yang mengalir itu sesuatu yang keruh, ianya menyuburkan nafsul amarah iaitu sifat-sifat haiwani yang jelik.

Orang yang memiliki jiwa insani yang tinggi adalah orang yang berbudi. Orang yang mempunyai jiwa haiwani yang serakah adalah orang yang tak berbudi.

Akal tanpa fikir menyebabkan perubahan tak berlaku. Fikir tanpa zikir hilang jiwa keinsanan. Budi memancar resam fikiran & daya memancarkan amal mulia. Budi & budaya menghasilkan budaya dan ianya menjadi cara hidup. Budaya yang dititip nilai-nilai Qurani meletakkan diri dalam fitrah. Fitrahlah yang menjadi sumber suburnya budi dan bahasa.

Bahasa yang baik diucapkan kepada orang adalah sesuatu yang fitrah lalu orang itu dikatakan berbudi bahasa. Akal yang baik memikirkan sesuatu yang bermanfaat lalu seseorang itu dikatakan mempunyai akal budi yang tinggi. Di dalam hati terkandungnya niat & hasrat lalu dihubungkan dengan hati dan budi. Pekerti manusia sering dikaitkan dengan akhlak dan adab yang tinggi. Orang yang berpekerti mulia dihubungkan dengan budi pekerti. Bila orang lain berbuat baik kepada kita, kita pula membalas sama, lalu perbuatan itu dihubungkan sebagai mengenang budi.

Didiklah nafsu kita supaya berbudi bahasa, mempunyai akhlak yang mulia dan adab yang sopan. Budi bahasa khazanah yang mulia. Wariskan kepada generasi kita budi bahasa. Why not if budi bahasa start dengan diri kita first. Apa salahnya kalau kita yang menjadi pencetus perubahan. Hijrah menuju jalan yang diredhai Allah. Mulakan dengan diri sendiri. Sabar. InsyaAllah, apabila kita menampilkan budi bahasa yang mulia kemudian orang lain ikut, secara automatik, kebaikan itu tersebar kepada kita juga. Kita menjadi contoh kepada masyarakat, masyarakat turut sama berubah jadi baik, kita juga mendapat rahmat dari Allah. Bukankah kita juga sebahagian daripada masyarakat?? So, jika kita impikan masyarakat yang baik, maka hendaklah mulakan dengan diri sendiri. Wallahua'lam.

*sumber bahan: dilemma Melayu Muslim, kurang fikir atau kurang zikir, Pahrol Mohd Juoi.

No comments:

Post a Comment