Wednesday, May 19, 2010

HATI YANG BERDOSA

Ulama mengatakan bahawa langkah-langkah dan usaha ke arah memulihkan hati yang berlumuran dosa dan menderita pelbagai penyakit ada 5 iaitu; membaca al-Quran dengan merenung isi dan tujuannya, mengurangkan makanan, qiamullail, beribadat di waktu sahur & memperbanyakkan bergaul dengan orang-orang soleh.

Imam Malik pernah berwasiat kepada imam Syafi'e:
"Allah telah memasukkan nur/cahaya ke dalam hatimu, dan janganlah engkau padamkan dengan kegelapan maksiat"

Bagaikan si peminum racun biarpun sesudu, pelaku dosa sebenarnya sedang dihimpit azab sejak minit pertama dia melakukan dosa itu. Kecelakaannya sedang dan terus mengalir ke segenap urat nadi sampai ke seluruh pembuluh darah. Hingga ke jantung, ia mengitar darah dosa ke segenap lipat sendi. Di setiap ruas siku lututnya, dia akan letih bertatih justeru memikul dosa dari segenap penjuru hidupnya..

Jika dibiarkan tanpa taubat, karat dan selut kotoran dosa akan menebal. Secara senyap, pasti dan pelahan, ia boleh mencemari tabiat hidup yang sihat lalu menabiri hatinya. Ia membentuk lapis-lapis hijab. Lama-kelamaan, dosa mampu membentuk kerak yang kelabu kekal di cermin hati. Bagaikan wap cermin di meja solek, ia menggelapkan permukaan. Cermin tidak akan menerima cahaya. Ia gagal menilik wajah. Nur petunjuk akan gagal singgah di permukaannya meskipun tuannya tekun menerima cahaya. Di waktu itu, manusia telah kehilangan cermin untuk menilai kemurnian wajah budi. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment