Monday, June 6, 2011

RAMADHAN YANG DIRINDUI



Ramadhan yang dinanti dan dirindui. Tekadnya hati ingin kembali kepada fitrah asli. Selamat menyambut Ramadhan; pesta ibadah, dan selamat aidilfitri.

Mencari rahmat dan ampunan Allah di tengah kesibukan duniawi, ia bukanlah perkara mudah, namun, inilah hakikat dunia yang perlu ditempuhi. Mana mungkin jika mahu mengasingkan diri, sedangkan hidup ini sentiasa saja ada keperluan interaksi dengan manusia yang lainnya..

Uzlahnya hamba dalam mencari redha Allah, bukanlah uzlah jasadi, tetapi uzlah nafsi.. Dalam lain perkataan, mengasingkan diri dalam usaha mencari redha Allah, bukanlah mengasingkan jasad dari orang ramai, tetapi mengasingkan nafsu/jiwa dari dosa maksiat atau keinginan-keinginan yang terpesong dari jalan yang diredhai Allah...

Nabi pesan, bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik... (kalau tak kerana pesan nabi ni, tidaklah aku peduli bagaimana hubungan aku dengan manusia. namun, dah nabi pesan begitu, maka, perlulah aku baiki hubungan aku dengan manusia. sungguh, banyaknya hak mereka ke atas aku yang tidak tertunai olehku. astaghfirullah..)

Nabi juga pernah berpesan, beribadahlah kamu kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu.
Inilah yang dikatakan sebagai "ihsan", iaitu merasa diri sentiasa melihat Allah atau diperhati Allah. Melihat Allah, bukanlah bererti melihat zat Allah secara solid (pejal), tetapi, melihat adanya Allah di sebalik seluruh ilusi yang ditayangkan dalam minda. Allah sebagai Pencipta ilusi, malah Pencipta seluruh alam raya.

Ramadhan yang dinanti, kerana dalamnya ada keluasan rahmat Allah..dibuka segala pintu rahmat, dirantai seluruh iblis dan syaitan, pahala dilipat gandakan, doa diterima, dalamnya ada lailatul qadar dan macam2 lagi rahsia yang tersembunyi. Istimewanya Ramadhan, jika diketahui, sudah tentu kita akan mengharapkan agar Allah menjadikan seluruh bulan sebagai bulan Ramadhan kerana terlalu suka akan keistimewaannya. Namun, cukuplah kita yakin, bahawa sesungguhnya apa jua yang diatur Allah pasti ada hikmahNya.

..dan janganlah kita menjadi hamba Ramadhan tetapi jadilah hamba Allah. Terdetiknya hati ingin kembali kepada Allah, maka bersegeralah kembali kepada Allah, jangan ditunggu tibanya Ramadhan baru ingin kembali kerana esok belum tentu ada untuk kita.

dan, semoga kerinduan kepada Allah berpanjangan bukan sahaja sehingga bulan Ramadhan, malah, selepas itu, dan selepas itu, dan selepas itu...selama-lamanya, insyaAllah. Walau sehingga terpisahnya roh dari jasad, dan dibangkitkan semula pada hari kiamat, moga kerinduan kepada Allah sentiasa mekar menebarkan harumnya. insyaAllah. segalanya dengan rahmat Allah jua.

"ya Allah, izinkanlah aku mencintaiMu,"

No comments:

Post a Comment