Wednesday, May 19, 2010

KESAN DOSA DALAM HIDUP -karya Ibnu Qayyim

Tidak terdapat keadaan tawanan yang lebih buruk selain daripada orang yang ditawan oleh musuhnya yang paling ketat. Tiada penjara yang lebih sempit dan lebih kecil selain daripada penjara hawa nafsu. Tidak ada belenggu yang paling susah dibuka selain belenggu syahwat atau keinginan sendiri. Bagaimana dapat berjalan menuju Allah (atau keredhaanNya) dan menuju hari akhirat manakala hati tertawan, terpenjara, dan terbelenggu? Bagaimana dia akan dapat melangkah barang selangkah? Jika hati telah terbelenggu, dia akan diserang/diserbu kejahatan dan kebinasaan daripada segenap penjuru sesuai menurut ukuran belenggu tersebut.

Penjagaan dan perlindungan diperoleh daripada Allah hanya dengan ketaqwaan. Taqwa adalah alat penjagaan dan benteng yang kukuh di antara hamba dan serigala yang sentiasa mengintai. Taqwa juga memelihara hamba daripada seksaan dunia dan akhirat.

Jika hati seseorang hamba itu semakin jauh daripada Allah, dia akan lebih cepat terdedah kepada kemusnahan dan kejahatan. Semakin dekat hamba dengan Allah, dia akan terjauh daripada kejahatan dan kebinasaan.

Jika ditinjau daripada pengaruh dosa dan maksiat terhadap kekurangan akal dalam lapangan kehidupan ini, kalaulah bukan kerana banyaknya manusia yang mengalami bencana krisis dan kekurangan akal, nescaya sudah jelas dan terang bagi golongan yang taat di kalangan kita, kekurangan akal ialah golongan yang terlibat dengan dosa dan maksiat. Akan tetapi malapetaka yang menimpa dapat dikatakan telah merata atau umum.

Hanya dalam keredhaan Allah terdapatnya ketenangan hati, kegembiraan jiwa, kehidupan hati, kelazatan ruh, kelazatan hidup dan nikmat yang lebih lazat dan sempurna. Jika ditimbang atau dibandingkan dengan seberat zarah daripada kenikmatan tersebut dengan nikmat keduniaan, tak dapat dibandingkan. Malahan jika terdapat di dalam hati hamba, sedikit saja daripada nikmat-nikmat tersebut, dia takkan rela menjadikan dunia dan segala isinya sebagai tukar gantinya. Oleh itu, (hamba yang soleh) mengecap nikmat keduniaan dengan cara dan bentuk yang lebih besar dan lebih baik daripada apa yang dirasakan oleh golongan al-mutrafin; iaitu orang yang hidup & bergelumang dalam kemewahan kehidupan keduniaan.

Secara keseluruhannya, dosa akan melenyapkan keberkatan keagamaan & keduniaan. Sesungguhnya seseorang hamba akan terhijab atau terdinding daripada suatu rezeki dengan sebab dosa yang dilakukannya. wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment