Monday, October 4, 2010

ANEH TAK ANEH

Bukan suatu perkara yang aneh anak Adam melakukan dosa. Bukan suatu yang aneh anak Adam terjerumus ke dalam maksiat. Ini merupakan tabiat kejadiannya. Anak Adam dijadikan dengan 2 unsur yang bersepadu iaitu unsur tanah dan unsur rohani. Unsur tanah mengajaknya terjunam ke bawah manakal unsur rohani mengajaknya ke atas sehingga mencapai tahap yang paling tinggi.

Kadang-kadang manusia terpengaruh dengan unsur tanah maka pada masa itu dia akan jadi seperti binatang perangainya. Kadang-kadang manusia dipandu oleh unsur rohani lalu dia meningkat tinggi sehingga menjadi seperti malaikat atau ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Tidak hairan sekiranya pada satu-satu ketika unsur tanah mengalahkan unsur rohani, unsur bumi menewaskan unsur langit, unsur kebinatangan mengalahkan unsur ketuhanan yang ada pada manusia maka manusia berada dalam keadaan berdosa.

Tidak hairan sekiranya anak Adam melakukan maksiat. Akan tetapi yang menghairankan ialah manusia itu berterusan dalam maksiat, dia kekal dalam melakukan dosa, melupakan Tuhannya, melupakan taubat kepadaNya. Maka dengan itu dosa-dosa terus bertimbun ke atasnya sehingga Allah menjadikan hatinya hitam. Ini merupakan satu perkara yang bahaya. Bahaya yang dilakukan oleh manusia ialah tak bersegera melakukan taubat kepada Allah. Hadis nabi saw mafhumnya:- Sesungguhnya apabila seseorang hamba itu melakukan satu kesalahan maka akan ditimpakan satu titik hitam pada hatinya. Sekiranya dia bertaubat maka hatinya akan berkilat semula. (hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment